Hipokritkah Kita...
Aurat: Hipokrit atau Taat
Aurat?? Aurat adalah bahagian tubuh badan yang tidak boleh diperlihatkan. Bila sebut sahaja mengenai menutup aurat pasti ada segelintir yang berfikiran prejudis bahawa ianya tidak trendy, nampak alim, ketinggalan zaman, susah untuk bersosial dan pelbagai lagi tanggapan negatif yang berlegar difikiran. Jika anda salah seorang daripadanya..ANDA TERSILAP!
Islam adalah agama yang indah dan mudah. Menutup aurat bukanlah satu bebanan sebaliknya ia diwajibkan keatas setiap muslim bertujuan untuk menjaga kehormatan diri dan membezakan antara seorang muslim dan kafir secara zahir. Prinsip berpakaian dalam Islam tidaklah terlalu rigid. Islam mengenakan garis panduan berpakaian yang ringkas (untuk lelaki dan juga wanita) iaitu; longgar dan tidak jarang agar tidak menampakkan susuk tubuh, sesuai dengan jantina, tidak menyerupai pakaian sesuatu kaum dan tidak memakai sutera bagi lelaki.
Bagaimana pula jika saya ingin kelihatan trendy? Adakah Islam melarang perkara tersebut?
Tidak, Islam sama sekali tidak melarang untuk berfesyen. Pakailah apa sahaja jenis pakaian yang anda sukai asalkan tidak berlebihan sehingga menyebabkan pembaziran, dan tidak bercanggah dengan etika berpakaian dalam Islam seperti yang telah disebutkan di atas. Mungkin ada segelintir lelaki yang berseluar panjang, namun disebabkan ianya terlalu longgar, ia menampakkan bahagian belakang tubuh yang merupakan aurat mereka. Ada pula yang sengaja mengoyakkan seluar di bahagian lutut semata-mata ingin kelihatan stylo. Dalam situasi sebegini kita seharusnya bijak dalam menyeimbangkan antara tuntutan fesyen dan kehendak syarak.
Batasan aurat lelaki dan wanita
Batasan aurat bagi lelaki adalah antara pusat hingga lutut, manakala bagi golongan wanita keseluruhan tubuhnya adalah aurat kecuali muka dan tapak tangan menurut pendapat mazhab Hanafi dan mazhab Maliki. Mungkin ada yang beranggapan bahawa berpakaian sopan @menutup aurat hanya perlu sebagai memenuhi piawaian di tempat kerja mahupun tempat belajar,atau ketika memasuki masjid, menziarahi kubur, sewaktu akad nikah dan ketika berhari raya sahaja. Malah terdapat juga segelintir mereka yang berpendapat menutup aurat hanya perlu apabila keluar dari rumah, lantaran itu mereka menerima kunjungan tetamu dan juga saudara mara yang bukan mahram tanpa mengenakan tudung, berlengan pendek dan sebagainya yang ternyata menyelisihi adab berpakaian dalam Islam.
Apakah hukum mengenakan pakaian berlengan pendek berserta dengan inner??
Kalau dilihat pada zahirnya mungkin bahagian-bahagian tubuh tertentu sudah tertutup sepenuhnya TETAPI ianya masih boleh menampakkan bentuk tubuh kerana sifat fabriknya yang melekat pada tubuh. Maka pemakaiannya masih belum memenuhi tuntutan berpakaian dalam Islam.
Menutup aurat vs hipokrit?
Pernah atau tidak anda terfikir bahawa corak pemakaian anda sebenarnya akan mempengaruhi hati? Ia bukanlah sesuatu yang hipokrit tetapi pada hakikatnya anda mendidik jiwa anda kearah kebaikan kerana kedua-duanya mempunyai kaitan yang sangat kuat sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Wahai anak cucu Adam, sesungguhnya Kami telah menyediakan pakaian untuk menutupi auratmu dan untuk perhiasan bagimu. Tetapi pakaian takwa itulah yang lebih baik.” (Surah Al-A’raf:26).
Sesungguhnya hidayah Allah tidak datang bergolek begitu sahaja di hadapan mata, tetapi perlu dicari dan berusaha untuk mendapatkannya. Saya percaya, pasti masih terselit perasaan malu dalam diri anda bila mendedahkan anggota-anggota tubuh tertentu. Justeru itu mulakan langkah baru pada tahun baru hijrah ini. Moga kita diberi kekuatan untuk berhijrah....INSYAALAH.
Sumber diperolehi kat sini.. T/kasih naa..
Sumber diperolehi kat sini.. T/kasih naa..
No comments:
Post a Comment