Tuesday, 25 September 2012

Keliru Dengan Fesyen, Malu, 'Aurat.....



Fesyen, Malu Dan Aurat….Muslimah Masih Keliru??

Memang benar Islam mewajibkan umatnya untuk berpakaian menutup aurat seperti yang disampaikan oleh Rasulullah dalam sabdanya kepada Asma’ binti Abu Bakar: “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita jika dia telah baligh, tidak boleh terlihat darinya kecuali ini dan ini, seraya menunjuk wajah dan telapak tangannya” [HR Abu Dawud]. Tuntutan menutup aurat ini telah diketahui umum. Namun tidak ramai yang tahu bahawa Islam ada menetapkan bentuk pakaian yang wajib dipakai oleh Muslimah di tempat umum.

Ketika seorang wanita ingin keluar rumah ke tempat umum, terdapat kewajipan ke atasnya untuk mengenakan jilbab (sehelai kain yang tidak terpotong dari atas ke bawah). Firman Allah, “Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka" [TMQ al-Ahzab (33):59]. (Sila rujuk SN236 atau artikel bertajuk Aurat Wanita Muslimah Menurut Syarak dalam ruangan Fikih Muslimah untuk mengetahui pembahasan mengenai jilbab ini.) Oleh itu, seorang Muslimah wajib mengikut hukum syarak di atas dalam berpakaian dan bukannya mengikut adat dan budaya.

Sementara itu, sifat malu sebenarnya adalah perisai pada keimanan seseorang Muslim. Daripada Abi Mas'ud al-Badri berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya di antara ucapan kenabian pertama (Adam) yang didapati manusia (daripada generasi ke generasi) adalah, “Jika engkau tidak malu maka perbuatlah apa yang engkau inginkan.” [Hadis riwayat Bukhari]. Hadis Nabi SAW yang lain juga ada menyatakan bahawa: “Sesungguhnya sopan santun dan keimanan adalah saling berkaitan, jika salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga akan hilang serentak.” [Hadis riwayat Baihaqi]. Jadi, memang benar bahawa jika seorang individu itu sudah tiada sifat malunya,maka dia akan melakukan perbuatan yang menyalahi hukum syarak dan akan terikut dengan budaya dan propaganda fesyen yang dilaungkan oleh musuh-musuh Islam.

Tetapi, perisai yang sebenar untuk menangkis serangan pemikiran daripada pihak kuffar adalah seorang Khalifah yang menaungi Daulah Islam (Daulah Khilafah). Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Bahawasanya Imam itu bagaikan perisai, dari belakangnya umat berperang dan dengannya umat berlindung.” [HR Muslim]

Oleh itu, tidak cukup dengan hanya berperisaikan malu untuk menjamin ketaqwaan seseorang tetapi hakikatnya pemikiran sekular masih lagi dilontarkan kepada umat Islam. Lama-kelamaan seseorang itu akan letih dan putus asa menahan tipu daya serangan itu dan akhirnya mengalah. Tetapi, dengan adanya Khalifah, umat Islam akan terhindar daripada serangan itu kerana dialah yang akan menerapkan segala hukum Islam dalam pemerintahannya sehingga musuh Islam takut untuk mempengaruhi kita. Sebagai contoh, Menteri Dalam Negeri Britain, Charles Clark pernah memberikan pernyataan (dalam dialognya dengan para pemikir sayap kanan Amerika, The Heritage Foundation), “Kita tidak akan pernah bertolak ansur sedikit pun tentang penegakan Khilafah. Kita juga tidak akan bertolak ansur apa pun tentang pelaksanaan undang-undang (hukum) syariah.” Jelas, musuh Islam ini takut kepada Khilafah dan hukum-hukum Islam.

Wahai Muslimah yang mendambakan kehormatan!

Sementara kita berusaha ke arah penegakan Khilafah yang juga telah menjadi kewajipan setiap Muslim, tetaplah berpegang teguh pada hukum syarak walaupun kita hidup dalam masyarakat yang tidak Islami. Jika puak kufar memandang pakaian Islam yang menutup aurat muslimah sebagai pakaian yang kolot, menghina dan menindas perempuan, jangan pula kita sebagai individu muslim memandang jilbab ini juga sebagai jumud, ketinggalan zaman dan menyusahkan. Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah menyampaikan khabar gembira kepada kita bahawa: “Islam muncul pertama kali dalam keadaan terasing dan akan kembali terasing sebagaimana mulainya, maka berbahagialah orang-orang yang terasing tersebut. Para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, siapa al-ghuraba (orang terasing) ini?” Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, “Mereka adalah orang-orang yang melakukan perbaikan ketika manusia sudah rosak.” [HR at-Thabrani dalam al –Kabir]



Pantun jiwa hamba..

Menjelma di mata Syurga yang hebat..
Berhemah ibadah tiada berlelah..
Bersama kita menjaga 'aurat..
Muslimah indah diredha Allah....



No comments:

Post a Comment