Monday, 16 September 2013

Erti Kasih Sayang Seorang Suami Dan Isteri...


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM....
Assamualaikum wbt.

Barulah ada masa untuk meng'update'kan blog ni....alhamdulillah.....








"Seorang suami apabila memandang dengan kasih sayang dan isteri pun memandang dengan kasih sayang maka ALLAH memandang kedua-duanya dengan pandangan kasih sayang. Bila suami memegang telapak tangan isterinya maka dosa kedua-duanya berguguran dari celah jari tangan keduanya.."

- (HR. Rafii)

Kasih sayang dan ketenangan hati suami isteri adalah kurniaan Allah swt. Ertinya, ia bukan olahan manusia yang boleh dibuat-buat, direka dan dirancang-rancang. Sebab soal kasih sayang dan ketenangan adalah soal hati, yang bergerak dan hidup tanpa kawalan lahiriah dan kebendaan. Ia dikawal sendiri oleh Allah swt, secara ghaib dan menggunakan syarat-syarat yang Allah sendiri tentukan. Jadi, untuk mencetuskan kasih sayang dan ketenangan rumahtangga, faktor-faktor hubungan dengan Allah adalah wajib diambil kira. Yakni dengan beriman, beramal dengan syariat Islam serta membanyakkan ingatan (zikir) kepada Allah swt.

Suami isteri yang membelakangkan Allah swt adalah pasangan yang sukar untuk memperolehi ketenangan dan kasih sayang. Hati mereka berpecah, kepercayaan antara satu sama lain hilang dan rasa persefahaman kian luput hari demi hari. Walaupun usaha-usaha lahir yang mungkin sudah cukup dilakukan untuk membina kebahagiaan tetapi selagi hati masih kosong dari mengingati Allah, cuai menjalankan perintah-perintah Allah maka selama itu kasih sayang tidak tumbuh dalam erti kata yang sebenarnya.

Sebab kasih sayang adalah pemberian Allah, dimasukkan ke dalam hati suami isteri yang benar-benar taat dan patuh padanya. Barangkali sukar untuk diakui hakikat ini memandangkan realiti kehidupan rumahtangga yang berbagai-bagai dan tidak terikat pada kenyataan di atas. Orang kafir yang tidak percayakan Allah itu kekal rumahtangganya. Orang Islam yang tidak sembahyang pun ada yang berbahagia nampaknya. Sementelahan rumahtangga ahli agama pun kadang-kadang berkecai. Jadi apa bukti bahawa punca ketenangan dan kasih sayang ialah ketaatan kepada Allah...

Apabila suami isteri itu membangunkan rumah tangga atas cita-cita Islam maka sudah tentu pergaulan keduanya mengikut ajaran Islam. Bagaimana tanggungjawab suami terhadap isteri, didikannya, makan minumnya, pakaiannya, tempat tinggalnya dan akhlaknya tentulah sesuai dengan ajaran Islam. Begitu juga layanan isteri terhadap suami, menghiburkannya, menyambut kepulangannya, tidak memberatkan suami dan merendah diri.

Mereka akan sembahyang bersama, bekerjasama dan bertolong bantu. Yang salah meminta maaf manakala yang benar memberi maaf. Kedua-dua keluarga dihormati. Suami di luar tidak memandang isteri orang atau perempuan lain. Isteri di rumah menjaga maruah diri dan mengurus keperluan suami dan anak-anak. Suami berpuas hati dengan isterinya dan isteri berasa puas dengan suaminya. Kalau ada masalah, mereka berunding, memikirkan dan cuba menyelesaikannya bersama.

Suami bertimbang rasa dengan isteri. Isteri pula tidak suka meminta-minta dengan suami. Bahkan berpuas hati dengan apa sahaja yang diberi oleh suami. Salah isteri diberi tunjuk ajar, salah suami dilupakan. Di waktu suami lemah semangat, isterilah yang memberi semangat. Di waktu isteri tidak faham, suamilah yang memberi faham. Suami tidak berkasar dengan isteri. Isteri pula sentiasa menghormati suami. Kalau suami bercakap, isteri mendengar dengan sepenuh hati. Kalau isteri bersedih, dihiburkan oleh suami. Kejahatan masing-masing tidak pernah didedahkan kecuali kerana ingin meminta bantuan kepada orang-orang tertentu untuk membaikinya.


RUMAH tangga yang bahagia dan aman tenteram menjadi impian suami isteri. Ikatan kasih sayang dua insan dipadukan dengan harapan semoga berkekalan sepanjang hayat. Namun, dalam kehidupan berumah tangga pasti tidak lekang daripada dugaan dan pancaroba yang boleh menggugat kesejahteraan.

Oleh itu, beberapa petua untuk renungan bersama supaya rumah tangga yang terbina kekal aman serta dilimpahi kasih sayang sepanjang masa. Ini perlu bagi mengelak berlaku perceraian yang semakin meningkat.

Renungi pesanan Umamah binti Harith kepada anaknya sebagai petua dalam rumah tangga yang bahagia. Umamah mewasiatkan kepada anak perempuannya yang akan melangsungkan perkahwinan dengan seorang Raja Yamanm, iaitu Al Harith bin Amru.

Dalam wasiat itu, Umamah berkata: “Wahai puteriku, aku ingin memberitahumu 10 perkara sebagai pedoman dan panduanmu dalam melayari alam berumah tangga nanti iaitu jalinkan hubungan dengan suamimu penuh ketaatan, perhatikan tempat menjadi kesenangannya dan jangan sampai dia melihat kepada sesuatu yang buruk atau tercium sesuatu yang busuk.

Hendaklah kamu sentiasa membanggakannya kerana ini akan membuatkannya bertambah kasih padamu. Benarkanlah segala pendapat dan sikapnya nescaya dia akan bersikap lembut terhadapmu.

Kamu hendaklah menguruskan hal ehwal rumah tangga dengan sempurna dan baik. Sentiasalah memelihara diri, keluarga dan kehormatannya. Simpankan segala rahsianya dengan baik, jangan kamu sesekali membantah suruhannya kerana ini akan melukakan hatinya.

Jagalah waktu makannya dan waktu beristirahat kerana apabila perut lapar akan membuatkan darah cepat naik. Begitulah juga dengan tidur yang tidak cukup akan menyebabkan keletihan. Andainya suamimu nanti sedang bergembira, janganlah kamu menunjukkan kesedihan pula, tetapi kamu hendaklah pandai menyesuaikan keadaan dan bijak mengikut suasana hatinya.

Kamu hendaklah sentiasa menghiasi dirimu selalu supaya suamimu nanti berasa senang apabila menatap wajahmu. Jadikanlah dirimu sebagai amah kepadanya. Nescaya nanti suami akan menjadi penolong pula pada dirimu.

Demikianlah 10 petua yang diperturunkan kepada anaknya dan sangat relevan buat kita pada zaman ini, iaitu panduan buat wanita yang akan mendirikan rumah tangga supaya bahtera dilayari bersama suami berada dalam landasan yang betul lagi diredai Allah.

Seperti yang diketahui, pelbagai masalah keruntuhan rumah tangga semakin menjadi-jadi dan tidak menampakkan susutnya. Jadi sewajarnya petua Umamah dijadikan sebagai teladan dan peringatan buat muslimah.

Rumah tangga aman bahagia akan membawa keberkatan hidup dan sentiasa dalam lingkungan rahmat Allah. Apa yang mustahak, kedua-dua suami dan isteri mesti memiliki sikap saling hormati-menghormati dan nilai toleransi tinggi.

Tidak dinafikan wanita menjadi tunjang kepada terbentuknya suasana bahagia dan harmoni. Imam Hasan Al-Banna berkata: “Asas kebaikan bangsa adalah kebaikan keluarga dan kunci kebaikan keluarga adalah kebaikan kaum perempuan, kerana perempuan adalah guru dunia.

“Perempuan yang menggoyang hayunan dengan tangan kanannya dan menggoncang dunia dengan tangan kirinya. Ketenteraman, ketenangan dan perlindungan, itulah kata tepat untuk menggambarkan antara lelaki dan perempuan.

“Seorang perempuan, wahai saudaraku, berlindung pada suaminya untuk memperoleh kekuatan dan kehidupan, sedangkan lelaki berlindung kepada isterinya untuk memperoleh kecintaan dan kehidupan.”

Andainya sikap saling memahami dan bertolak ansur diterap antara suami isteri, fenomena cemburu buta yang berakhir dengan perceraian dapat ditangani. Ini tidak, hal remeh temeh mencetuskan polemik, sehingga membesar menjadi punca keretakan hingga meruntuhkan rumah tangga.

Kehidupan berumah tangga yang sentiasa berpayung pada cahaya keimanan kukuh tidak akan mudah digoncang, malah sentiasa mendapat berkat Allah. Ingatlah, keluarga yang aman bahagia akan melahirkan anak cemerlang.

Anak yang dilahirkan dalam ruang lingkup keluarga harmoni akan memacu landasan hidup sempurna. Wujudlah rumahku, syurgaku, yang menjadi impian semua pasangan. Semua inginkan kebahagiaan melalui gerbang perkahwinan dan Islam menggalakkan perkahwinan untuk mencari ketenangan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah menjadikan bagimu rumahmu sebagai tempat tinggal (untuk ketenangan).” - (Surah An-Nahl, ayat 80)



Walllahu'alam bissawab....

p/s Tulisan yang kuning adalah dipetik dari Sumber Halaqah 



Cahaya Matahati

No comments:

Post a Comment