Al Quran
Bukannya Kitab Geografi, sebaliknya menarik perhatian kita kepada tahap-tahap ciptaan alam semesta, termasuk kejadian gunung-ganang, sungai-sungai dan lautan yang terbentang.
“Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani.” (Surah al-Anbiya’ : 31)
Bukan Kitab Astronomi, sebaliknya menceritakan segenap sudut tentang penciptaan matahari, bulan, dan bintang-bintang yang mana sentiasa taat kepada perintah-Nya.
“Dan ia memudahkan bagi kamu malam dan siang, dan matahari serta bulan; dan bintang-bintang dimudahkan dengan perintah-Nya untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mahu memahaminya.” (Surah An-Nahl : 12)
Bukan Kitab Kosmologi, sebaliknya mempamerkan kekuasaan Allah dalam mentadbir pergerakan matahari dan bulan bagi fenomena siang malam yang silih berganti tanpa cacat celanya bagi keperluan hidup manusia.
“Dan ia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu.” (Surah Ibrahim : 33)
Bukan Kitab Meteorologi, sebaliknya menceritakan perihal angin yang ditiup sebagai pembawa berita gembira sebelum datangnya hujan sebagai rahmat dari Tuhan yang membawa kepada tumbuhnya pelbagai tumbuhan subur.
“Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmat-Nya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya). Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah; dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami dengan berbagai cara bagi orang-orang yang (mahu) bersyukur.” (Surah Al-A’raf : 57-58)
Bukan Kitab Hidraulik, sebaliknya menyatakan tentang kekuasaan Allah menjadikan air tawar dan air masin mengalir bersampingan. Antara keduanya ada sempadan yang mengasingkan kedua-duanya.
“Dan Dialah Tuhan tang telah mengalirkan dua laut berdampingan, yang satu tawar lagi memuaskan dahaga, dan yang satu lagi masin lagi pahit; serta ia menjadikan antara kedua-dua laut itu sempadan dan sekatan yang menyekat percampuran keduanya.” (Surah Al-Furqan : 53)
Bukan Kitab Oseanografi, sebaliknya memperincikan kekuasaan Allah dalam menundukkan lautan untuk kehidupan manusia sejagat.
“Dan Dialah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya; dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya; dan supaya kamu bersyukur.” (Surah An-Nahl : 14)
Bukan Kitab Obstetriks, sebaliknya memuatkan kisah kejadian manusia yang dicipta dari tanah, bermula dengan air mani yang hina sehinggakan dibungkuskan tulang-belulang dengan daging dan akhhirnya lahir sebagai manusia.
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.” (Surah Al-Mukminun : 12-14)
Bukan Kitab Metalogi, sebaliknya meriwayatkan bagaimana Nabi Daud a.s. diajar cara logam besi dan tembaga bagi membuat peralatan. Kita tentu tahu bahawa logam besi dan tembaga hanya terdapat dalam bentuk bijih yang memerlukan proses kimia untuk mengasingkannya.
“Dan telah Kami ajarkan kepada Daud membuat baju besi untuk kamu, guna memelihara kamu dalam peperanganmu; Maka hendaklah kamu bersyukur (kepada Allah).” (Surah al-Anbiya’ : 80)
Bukan Kitab Sejarah, sebaliknya menceritakan tentang tamadun purba yang telah dimusnahkan kerana ingkar dengan perintah Allah. Kesan tamadun-tamadun ini telah dijumpai di Tanah Arab dan di serata dunia.
“Sesudah dibinasakan di dunia maka akibat orang-orang yang melakukan kejahatan itu ialah seburuk-buruk azab (di akhirat kelak), disebabkan mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan sentiasa mempersendakannya.” (Surah Ar-Rum : 10)
Bukan Kitab Egyptologi, sebaliknya mengisahkan kisah Firaun memohon ampun daripada Allah ketika dia hampir lemas di Laut Merah semasa mengejar Nabi Musa dan pengikutnya. Allah telah berjanji untuk menyelamatkan jasad mayatnya yang telah ditemui kini pada tahun 1909 dan disimpan di Muzium Mesir hingga ke hari ini.
“Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar). dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!.” (Surah Yunus : 92)
Diolah daripada buku Sains dengan Pendidikan Islam.
Olahan oleh: Cg Mohd Ridzuan al-Kindy
Sumber diperolehi dari...http://jilmuallim.blogspot.com/2011/04/kehebatan-al-quran.html
No comments:
Post a Comment